Tuesday 2 July 2013

Selamat tinggal gagak

Peserta kempen menembak gagak berkumpul di
kawasan Dataran Petaling Jaya yang dikenal pasti antara
kawasan tumpuan burung tersebut, baru-baru ini.
Petaling Jaya 20 Nov. - Siapa yang tidak kenal dengan burung gagak. Si hitam pengotor yang selalu menjengah dan menyelongkar tong sampah untuk mendapatkan makanan.

Burung itu jelas membawa kerosakan dan penyakit manakala 'kenakalan' gagak tidak perlu dijelaskan lagi, bersedialah untuk menerima kehadiranya di tong sampah terbuka atau karung sampah yang tidak diikat dengan kemas.

Kerana itu, apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengadakan kempen menembak gagak untuk mengawal pembiakanburung itu, ramai penduduk tampil memberikan kerjasama.
Kawasan tumpuan gagak di sekitar Petaling Jaya adalah PJS1, PJS3, PJS5, Seksyen 18, Seksyen 10, Seksyen 17, SS2, SS24, SS25, PJU 1A, PJU 10, Kampung Sungai Ara, Bandar Utama dan Bandar Sri Damansara.

Langkah MBPJ membuka penyertaan kepada penduduk, selain membuat kumpulan penembak sendiri dilihat usaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan populasi haiwan itu. Malahan, bayaran yang dinaikkan kepada RM3 untuk seekor, lebih 50 sen daripada tahun lepas bagi setiap ekor gagak yang ditembak turut menjadi tarikan kepada peserta kempen.

Seorang peserta, Jaufri Dounar, 59, berkata, dia menyertai kempen itu kerana melihat populasi gagak yang meningkat di kawasan Petaling Jaya. Jelasnya, selain jemputan daripada kawan-kawan, kesedaran untuk melihat bandar raya itu bersih daripada gagak memang menjadi impiannya.

"Burung perosak ini sering menyelongkar tong sampah dan bagi saya, menembaknya adalah satu kebanggaan," ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mohd. Jamil Taha, 42, menjelaskan, selain membersihkan kawasan MBPJ, penyertaannya juga adalah kerana minat dan tanggungjawab sebagai seorang penduduk Petaling Jaya yang perlu ditunaikan. 

"Ini bukan kali pertama saya menyertai kempen tembah gagak. Selain MBPJ, saya turut menyertai kempen tembak gagak di kawasan pihak berkuasa tempatan yang lain. "Kita bukan mengejar ganjaran RM3 seekor yang diberi tetapi penyertaan ini lebih kepada tanggungjawab untuk kebersihan kawasan kita," katanya.

Bagaimanapun, seorang peserta, Mohd. Ramli Yusof, 56, meminta MBPJ menaikkan sedikit bayaran untuk setiap ekor gagak yang ditembak.

Katanya, keuntungan yang diperoleh selepas ditolak harga peluru tidak seberapa jika dibandingkan dengan tugas yang dibuat.

Namun begitu, katanya, kepuasan menembak menjadi faktor utama dia menyertai kempen itu.
"Kalau boleh MBPJ naikkan sedikit bayaran. Namun apa yang penting menembak gagak melahirkan kepuasan tersendiri. "Lagipun saya mahu kawasan ini bersih dan bebas gangguan gagak. Ini adalah kewajipan saya kepada penduduk di sini," jelasnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, kempen itu dijalankan pada setiap hari Ahad sepanjang November ini.

Jelasnya, pembahagian kepada kumpulan kecil di kalangan penembak adalah antara langkah keselamatan yang diambil untuk mereka.

"Ini kempen tahunan yang diadakan MBPJ. Kita mahu mengurangkan populasi gagak sekali gus mengatasi masalah yang timbul daripada burung ini. "Kita mahu jadikan Petaling Jaya bersih gagak. Kita mahu penduduk di sini dapat hidup aman tanpa gangguan gagak," katanya.

Nasihat Mohamad Roslan, peserta perlu berhati-hati dan tidak menembak di bumbung bangunan, kawasan persendirian, kabel telefon dan antena televisyen.

Tambahnya, kesedaran penduduk Petaling Jaya sendiri untuk memastikan longgokan sampah di hadapan kediaman diikat dengan ketat seharusnya diamalkan. Tegasnya lagi, peniaga pasar malam juga seharusnya tidak membuang sampah di kawasan belukar dan tepi sungai kerana tindakan itu akan menarik buruk gagak ke situ.

"Kita akan pantau peniaga di pasar malam supaya mereka tidak membuang sampah merata-rata,'' katanya.

Pada tahun 2008, sebanyak 3,647 ekor gagak ditembak oleh 78 peserta kempen itu melibatkan bayaran saguhati keseluruhan sebanyak RM9,117.50.

Arkib Utusan Malaysia : 21/11/2009

No comments:

Post a Comment