Tuesday 2 July 2013

Gagak ganggu pengguna

Burung gagak yang bertenggek di atas jejantas
berhampiran stesen komuter Pantai Dalam bukan sahaja
menyebabkan kawasan itu kotor tetapi juga
menakutkan orang ramai khususnya kanak-kanak.
Kuala Lumpur 26 Mei -– Penduduk Pantai Dalam di sini meminta pihak berkuasa menangani isu kehadiran gagak di jejantas berhampiran stesen komuter Pantai Dalam yang menjadi punca kawasan itu kotor.

Mereka mendakwa kumpulan burung gagak itu sering berada di kawasan itu pada waktu pagi dan lewat petang serta menjadikan tong-tong sampah sebagai sasaran mendapatkan makanan.

Kata mereka, akibatnya, tangga jejantas itu dipenuhi dengan najis burung tersebut manakala sampah-sarap yang dibawa oleh haiwan itu bertaburan di merata tempat.

Keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk yang menggunakan jejantas tersebut setiap hari.

Selain menyebabkan kawasan itu berbau busuk, burung gagak itu juga dilihat boleh mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

Chekhani Lazim, 54, yang berniaga kedai makan di bawah jejantas itu mengakui burung gagak tersebut telah ‘menghuni’ kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu.

“Burung gagak itu sudah ada sejak sebelum saya memulakan perniagaan di sini.

“Keadaan yang kotor dengan najis yang bertaburan telah mengurangkan pelanggan datang ke kedai saya,” katanya.

Tambahnya, burung-burung itu akan bertenggek di jejantas tersebut sambil membawa sisa makanan.

Dakwaan Chekhani disokong oleh penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Mana Maarof, 42.

Menurutnya, waktu yang menjadi kelaziman bagi burung-burung itu bertenggek ialah pagi dan lewat petang.

“Burung ini akan mengganggu sesiapa sahaja yang lalu di laluan ini.

Dia berkata, jika cuba dihalau, semakin banyak yang datang dan sebab itu, kebanyakan orang yang lalu di jejantas ini cuba untuk tidak mempedulikan burung itu, apatah lagi ramai yang sudah biasa dengan keadaan itu.

Seorang pelajar, Siti Aisyah Othman, 22, berkata, kadang-kadang dia takut untuk melalui jejantas itu kerana selain bimbang diserang, kekotoran yang dibawa boleh terkena pakaian.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membuat pemantauan terhadap masalah itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Operasi tembak gagak perlu dilakukan bagi menghentikan kedatangan burung-burung ini.

“DBKL perlu mengambil tindakan segera demi menjamin keselamatan dan kebersihan keadaan sekeliling,” ujarnya.

Arkib Utusan Malaysia : 27/05/2010

No comments:

Post a Comment