Tuesday 9 July 2013

Enam beradik miliki senapang

Romeli (dua, kiri) bersama Ismail (kiri), Rozimi (kanan) dan
Rajulaini selepas menjalani ujian kemahiran menembak
di Lapang Sasar Bukit Bubus, semalam.
Besut - Kehadiran empat beradik pada Program Ujian Kemahiran Menembak Pemilik Senapang Patah dan Pistol daerah Besut di Lapang Sasar Bukit Bubus, dekat Tembila di sini, semalam, mendapat perhatian lebih 200 pemilik senjata api lain.

Ia berikutan mereka muncul sebagai individu dalam satu keluarga paling ramai memiliki senapang patah di daerah ini, malah mungkin satu-satunya adik beradik teramai memiliki senapang patah di negeri ini.

Seramai enam beradik lelaki dalam keluarga Abd Rahman dari Hulu Besut mempunyai senapang patah, selebihnya tiga beradik perempuan tidak memiliki senjata api.

Sementara itu, empat bersaudara yang terlibat pada program berkenaan ialah Romeli Abd Rahman, 57, dan tiga adiknya, Ismail, 53, Rajulaini, 42, dan Rozimi, 37.

Romeli adalah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alor Lintang, sementara Rajulaini pula bertugas sebagai guru di SMK Bukit Payong dan Rozimi pula guru di SMK Putra Hulu Besut.

Manakala Ismail adalah kakitangan Jabatan Veterinar Besut.

Menurut Romeli, dua lagi adiknya yang lain turut memiliki senjata api ialah Rajulaini, 54, tetapi dia memiliki senapang patah Rela Besut.

"Rajulaini ialah kakitangan Pejabat Hutan Besut, manakala seorang lagi, Roslan, 50, menetap di Kuala Krai, Kelantan.

“Kami adik beradik mempunyai minat mendalam terhadap senjata api dan kebetulan masing-masing mempunyai kebun serta dusun, menyebabkan senapang menjadi keperluan untuk menjaga kebun," katanya yang turut memiliki lesen memburu.

Menurutnya, dia paling awal mendapat lesen senapang iaitu pada 1985, manakala yang terakhir memperoleh lesen ialah Rozimi pada 2011.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan NoorZainy Mohd Noor, ujian menembak itu diwajibkan terhadap semua pemilik senjata api di daerah ini pada setiap tahun bagi menilai kemampuan pelesen mengendalikan senjata masing-masing, selain memeriksa senjata berfungsi dengan baik.

Menurutnya, seramai  410 orang memiliki lesen senjata api di daerah ini dan 120 lagi adalah pemegang senapang patah Rela.

“Pada Jun setiap tahun, mereka perlu memperbaharui senjata api masing-masing dan hari ini (semalam) pelesen diuji dengan menembak piring dan papan sasaran pada jarak 50 meter dengan menggunakan lima biji peluru penabur 'buckshot',” katanya.

Arkib Sinar Harian : 10/06/2013

No comments:

Post a Comment