Friday 26 July 2013

Pasukan khas mampu tangani jenayah senjata api - KPN

Facebook Rasmi Polis DiRaja Malaysia.
Kota Bharu 24 Julai - Polis yakin pasukan khas ditubuhkan berkesan bagi membanteras jenayah membabitkan senjata api yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, hasil penubuhan pasukan berkenaan, beberapa kes melibatkan jenayah itu telah berjaya diselesaikan sebelum ini.

"Kita telah pun memperoleh kejayaan baru-baru ini dengan menyelesaikan kes jenayah ini dan insya-Allah saya rasa pasukan khas ini akan terus membantu dalam menangani masalah kes senjata api di negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melawat anggota trafik, Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Terengganu.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Khalid berkata demikian ketika mengulas mengenai jenayah senjata api yang kerap berlaku di negara ini sejak akhir-akhir ini.

Pada 21 Julai lalu, dua lelaki berusia 29 tahun dan remaja berusia 15 tahun ditahan selepas polis menemukan tiga pucuk pistol dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas.

Siasatan percaya mereka menjalankan kegiatan menyewakan senjata api berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis masih memburu pihak yang bertanggungjawab mengedarkan surat layang kononnya kumpulan pengganas Kiram akan memasuki Sabah pada bulan depan untuk membalas dendam sehingga mencetuskan kebimbangan rakyat.

Beliau turut memberi amaran kepada kepada pihak terlibat supaya berhenti daripada terus menyebarkan khabar angin kerana boleh menggusarkan masyarakat khususnya mereka yang tinggal di Sabah.

"Perkara itu tidak benar, kita akan tahu kalau ada cubaan untuk pihak musuh masuk ke negara ini kerana kita sentiasa cukup kekuatan di sana dari aspek darat, udara dan laut.

"Kita ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sentiasa bersiap-siaga pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Pihak keselamatan yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pun sudah cukup bersedia dalam memastikan keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah itu terjamin," katanya.

Arkib Utusan Malaysia 25/07/2013

No comments:

Post a Comment