Tuesday 2 July 2013

4 kawasan tembak gagak

Azrullail Masijan (kiri) memberi taklimat kepada
peserta tembak gagak di Skudai, baru-baru ini.
Johor Bahru 30 Mei - Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) sudah mengenal pasti empat kawasan utama populasi burung gagak di Skudai untuk dihapuskan kerana sering mendatangkan masalah bising dan kotor kepada penduduk setempat.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPJBT, Azrullail Masijan berkata, kawasan tersebut adalah Taman Ungku Tun Aminah, Taman Universiti, Taman Tan Sri Yaakob dan Taman Sri Skudai.

"Penyebab utama burung gagak semakin meningkat populasinya adalah kerana keadaan sampah depan rumah yang tidak terurus, sekali gus menjadi sarang untuknya terus membiak.

"Perkembangan ini membuatkan populasi burung gagak di Skudai pada tahun ini berdasarkan pemantauan meningkat 10 hingga 20 peratus," katanya kepada pemberita selepas operasi menembak burung gagak di sekitar Skudai, dekat sini, kelmarin.

Sebelum ini, MPJBT kerap menerima rungutan penduduk menyatakan sekumpulan burung gagak dalam jumlah banyak kerap mendatangkan bunyi bising terutama pada waktu Subuh dan Maghrib.

Selain itu, haiwan berkenaan juga mengotorkan kawasan rumah dan premis perniagaan termasuk kenderaan yang diletakkan di kawasan taman atau premis perniagaan.

Azrullail berkata, bagi mengurangkan populasinya, pihak majlis akan mengadakan pertandingan menembak burung gagak dalam tahun ini sempena ulang tahun ke-10 MPJBT.

Pertandingan itu katanya, akan turut melibatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penembak berlesen yang semuanya akan dibahagikan kepada 10 kumpulan.

"Ia merupakan penganjuran kali kedua dan seperti juga tahun lalu pihak kami menyediakan hadiah untuk kumpulan yang menembak burung gagak paling banyak," katanya.

Menurutnya, kali ini, pihaknya menyasarkan peningkatan burung gagak yang ditembak melebihi tahun lalu iaitu 794 ekor namun, usaha itu bergantung dengan keadaan cuaca.

Arkib Utusan Malaysia : 31/05/2011

No comments:

Post a Comment