Tuesday 2 July 2013

181 burung gagak tumpas

Seramai empat penembak MPJBT menyertai operasi
tembak gagak di Johor Bahru Tengah, semalam.
Johor Bahru 28 Mac -– Sebanyak 181 ekor burung gagak ditembak di empat taman di kawasan Johor Bahru Tengah dalam satu operasi tembak gagak semalam.

Operasi oleh pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) itu dijalankan di Taman Pelangi Indah, Taman Gaya, Taman Seri Wangsa dan Desa Tebrau.

Ahli Majlis Zon Tiram Timur, Norizam Shah berkata, pihaknya menyasarkan 400 ekor tetapi disebabkan hujan lebat jumlah yang berjaya ditembak kurang 200 ekor dalam operasi yang bermula pukul 5 petang hingga 8 malam itu.
“Sekumpulan burung gagak dalam jumlah banyak ini mendatangkan masalah kepada penduduk setempat. Antara masalahnya ialah bunyi bising terutamanya pada waktu subuh dan maghrib.

“Kumpulan burung gagak juga mengotorkan kawasan rumah, premis perniagaan dan kenderaan yang terdapat di kawasan taman itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan burung gagak itu turut ‘melarikan’ pakaian yang dijemur selain menyelongkar plastik sampah yang diletakkan di depan rumah.

Katanya, operasi tersebut merupakan salah satu langkah MPJBT bagi mengurangkan bilangan burung gagak di kawasan yang menjadi tumpuan unggas itu.

Norizam berkata, walaupun langkah itu tidak dapat menghapuskan populasi gagak secara total tetapi ia merupakan satu cara berkesan mengurangkan bilangannya.

“Kami kerap menerima aduan mengenai bilangan gagak yang banyak memberi masalah kerana spesies burung ini menyebabkan kekotoran dan mengeluarkan najis di merata-rata tempat,” katanya.

Menurut beliau, operasi menembak gagal merupakan cara yang paling berkesan mengurangkan bilangannya dan operasi semalam melibatkan 36 orang iaitu enam merupakan penembak MPJBT dan selebihnya anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Sementara itu, Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Brian Tan Chong Beng berkata, semua bangkai gagak yang ditembak itu akan dilupuskan dan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap operasi yang dijalankan.

“Sebelum operasi ini dijalankan, kami melakukan pemantauan selama beberapa hari dan mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi sarang pembiakan dan laluan burung itu,” katanya.

Arkib Utusan Malaysia : 29/03/2011

No comments:

Post a Comment