Tuesday 16 July 2013

Gagak ditembak, lembu ditangkap

Kota Tinggi 16 Jun - Sejumlah 323 ekor burung gagak ditembak dalam satu operasi bersepadu di taman perumahan, pasar awam, terminal pengangkutan awam dan stadium mini di bandar ini mulai 6 petang hingga 7.30 malam kelmarin.

Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Mashudi Sengarah itu membabitkan 60 petugas dan sukarelawan pelbagai agensi kerajaan termasuk Rela, polis dan Perhilitan.

Mashudi berkata, sebanyak 24 laras senapang digunakan menggunakan peluru penabur yang dikendalikan oleh 19 anggota Rela dan tiga pegawai Perhilitan serta seorang sukarelawan.

Menurutnya, operasi itu adalah yang pertama diadakan oleh pihaknya berikutan populasi unggas itu semakin bertambah sejak 2006.

Pihak MDKT sebelum ini banyak menerima aduan daripada penduduk mengenai kehadiran banyak burung gagak yang menyelongkar tong sampah dan menyelerakkan sampah-sarap terutamanya di sekitar pasar Taman Kota Jaya di sini.

Mashudi memberitahu, MDKT mengambil langkah pencegahan awal dengan mencantas pokok besar di sekitar taman perumahan itu yang menjadi habitat burung tersebut selain menggiatkan kempen menjaga kebersihan, cara pembungkusan dan aspek pelupusan sampah kepada penduduk.

Menurutnya, MDKT turut menjalankan operasi menangkap lembu liar di kawasan Tanjung Sedili dalam masa terdekat ini berikutan aduan yang diterima mengenai haiwan itu yang berkeliaran merosakkan tanaman, menghalang lalu lintas dan mengotor kawasan pekan itu dengan najis.

"Sepanjang tahun lalu MDKT telah menjalankan tujuh siri operasi menembak anjing liar dan baru-baru ini bersama pihak polis kita menurunkan iklan haram terutama iklan peminjam wang tak bertanggungjawab yang diletak di papan tanda jalan," katanya.
Arkib Utusan Online 17/06/2009

No comments:

Post a Comment