Saturday 6 July 2013

Budak tertembak mati sepupu 10 tahun

Winchester model 37 steelbilt shotgun 12ga. Gambar hiasan.
Bintulu 6 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas terkena tembakan selaras senapang patah yang dilepaskan oleh sepupunya sendiri yang berusia 12 tahun secara tidak sengaja ketika mereka bermain senjata api itu di sebuah rumah teres di Kampung Pekan Tatau Baru dekat sini petang semalam.
Kejadian malang itu berlaku pada pukul 6.30 petang semasa mangsa, Mohamad Fazmi Zamli, sepupunya dan adik kepada sepupunya tersebut yang berusia sembilan tahun bermain di dalam bilik tidur ibu bapa kedua-dua beradik berkenaan.

Ketika insiden itu berlaku, ibu bapa dua beradik berkenaan tiada di rumah manakala Mohamad Fazmi yang tinggal berdekatan datang ke situ untuk bermain.

Menurut jurucakap polis, semasa ketiga-tiganya bermain, sepupu mangsa terjumpa senapang patah tidak berpeluru milik bapanya yang bekerja sebagai buruh lalu mengambilnya untuk bermain.

"Kanak-kanak itu menarik picu senapang dan menghalakan kepada mangsa beberapa kali sehinggalah dia mengambil sebutir peluru dan memasukkannya ke dalam laras senjata api tersebut.

"Sebaik sahaja menarik picu, senjata api itu meletup dan tembakan tersebut mengenai dada kiri mangsa sehingga menembusi bahu kanannya dalam jarak kira-kira dua meter," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, bunyi tembakan tersebut didengari oleh abang sepupu mangsa berusia 15 tahun yang berada di ruang tamu sebelum bergegas masuk ke dalam bilik.

"Remaja itu yang terkejut melihat Mohamad Fazmi rebah dan berlumuran darah lalu mendukung mangsa pulang ke rumah yang terletak berdekatan," katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian bergegas membawa anaknya ke Klinik Tatau tetapi kanak-kanak itu telah disahkan meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dirujuk ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Arkib Utusan Malaysia : 06/07/2013

Pengajaran: Ibu Bapa hendaklah menyimpan senjata api yang ada dalam kawalan mereka di tempat yang selamat dan berkunci. Kecuaian akan membawa padah.

No comments:

Post a Comment