Tuesday 2 July 2013

Atasi masalah gagak di bandar Permas Jaya

Burung gagak banyak terdapat di kawasan premis
perniagaan sekitar Permas Jaya, Johor Bahru.
Kemunculan ratusan burung gagak yang hinggap di tiang elektrik dan bahagian depan rumah kedai di Bandar Permas Jaya, Johor Bahru setiap hari menimbulkan rasa kurang selesa dan mengotorkan kawasan serta kenderaan yang berada di situ.

Setiap petang, kumpulan burung tersebut akan singgah di rumah kedai berkenaan yang kedudukannya berdekatan dengan pusat membeli-belah Jaya Jusco.

Burung-burung tersebut kemudian melepaskan najis di pekarangan rumah kedai itu serta kenderaan yang diletakkan berhampiran.

Keadaan itu menimbulkan bau busuk, menyakitkan mata memandang dan sudah tentu pemilik premis juga merasa terbeban kerana setiap hari perlu membersihkan najis unggas berkenaan.

Itu belum dikira rungutan pemilik kenderaan yang meletak kereta di kawasan itu dan bertambah malang apabila najis terkena kepada orang awam yang lalu lalang.

Penduduk setempat masih boleh bersabar dengan bunyi bising burung itu tetapi tidak tahan dengan kotoran yang bertaburan dan menjijikkan.

Situasi seperti itu pada waktu pagi adalah pemandangan biasa tanpa ada sebarang tindakan diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

Justeru, pihak bertanggungjawab diminta melihat sendiri masalah itu dan memikirkan cara terbaik menghalau kumpulan burung tersebut ke lokasi lain yang tidak mendatangkan masalah.

Arkib Utusan Malaysia : 02/11/2010

No comments:

Post a Comment