Tuesday 2 July 2013

6,264 burung gagak 'tumpas' di Pandamaran

Para petugas sedang mengira burung gagak
yang berjaya ditumpaskan.
Klang 21 Nov. - Sebanyak 6,264 ekor gagak berjaya ditembak dalam operasi menembak gagak anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Stadium Hoki Pandamaran, Klang di sini, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Zulkifli Abbas berkata, operasi itu disertai oleh 52 kumpulan mewakili 137 peserta daripada Persatuan Penembak Selangor.

"Pada 2009, sebanyak 8,836 ekor gagak berjaya ditembak, tahun lepas pula sebanyak 7,799 ekor gagak berjaya ditembak manakala pada tahun ini pihak berkuasa tempatan (PBT) Klang mensasarkan 8,000 ekor gagak.

"Bagaimanapun, hasil maklum balas daripada peserta, kita dapati tumpuan menembak terganggu sedikit akibat hujan yang turun mulai pukul 3 petang hingga lewat petang," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, memandangkan penyertaan peserta konsisten setiap tahun iaitu antara 120 hingga 140 penembak, pihaknya bercadang untuk memasukkan acara menembak gagak sebagai program tahunan sempena perayaan Hari Kebangsaan tahun depan.

"Bayaran seekor gagak ditetapkan RM3 seekor manakala yuran pendaftaran RM5 setiap seorang memandangkan peserta mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli peluru.

"Sehingga kini, populasi burung gagak di Klang berjaya dikurangkan dan antara lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan gagak ialah di Kapar, Taman Sri Sentosa dan Taman Sri Andalas di sini," katanya.

Arkib Utusan Malaysia : 22/11/2011

No comments:

Post a Comment