Tuesday 23 July 2013

Makan mata burung gagak untuk jadi cantik di Indonesia

Tetapi bagaimana jika kecantikan yang dimiliki diperoleh melalui cara-cara yang cukup mengerikan seperti yang diamalkan oleh sesetengah wanita di Jakarta kini.

Di Jakarta, fenomena untuk menjadi cantik dengan menggunakan cara yang bertentangan norma kemanusiaan dan agama semakin berleluasa.

Kali ini, akan memaparkan mengenai gelagat sesetengah wanita di kota itu mencantikkan diri mereka.

Apa yang dipaparkan di sini, walaupun mengerikan tetapi adalah satu hakikat dan didedahkan oleh beberapa media di Indonesia.

Cara yang dimaksudkan itu ialah dengan menggunakan darah binatang seperti burung hantu dan ayam hitam, manakala lebih nekad daripada itu ada pula yang menggunakan khidmat makhluk halus.

Bagaimanapun berdasarkan kepada pengakuan beberapa orang yang menggunakan cara tersebut, tindakan mereka akhirnya membawa kesengsaraan kepada diri sendiri.

Itulah yang dialami oleh seorang wanita, Nurhayati atau Yati, 40, yang kini menetap di Cianjur, Jakarta Selatan. Walaupun sudah memiliki wajah yang sudah cantik namun dia tidak puas.

Dalam pengakuannya kepada sebuah media, Yati berkata, segala-galanya bermula apabila dia berhasrat untuk mencantikkan lagi wajahnya.

"Oleh itu saya pergi menemui seorang dukun kecantikan pada malam Jumaat. Di rumah dukun itu saya dimandikan dengan bunga tujuh jenis di sebuah pancuran buluh dalam keadaan bogel," katanya.

Yati mengakui dia melakukan perbuatan tersebut kerana sudah dikuasai nafsu untuk menjadi isteri orang kaya dan hidup senang.

Tepat pukul 12 tengah malam pada hari itu, si dukun berkenaan pun menyembelih tiga ekor burung hantu di mana darahnya dimasukkan ke dalam periuk.

Selepas itu Yati disuruh melumurkan seluruh tubuhnya dengan darah burung hantu berkenaan termasuk bahagian kemaluannya. Ternyata sekali dukun yang ditemui oleh Yati adalah dukun ilmu hitam.

Selama dua jam, Yati disuruh duduk bersila dalam keadaan berbogel manakala si dukun membaca mantera. Selepas itu Yati diarahkan memakai baju tanpa membersihkan dirinya terlebih dahulu.

Keesokan harinya, Yati diberitahu bahawa dirinya telah dimasuki jin wanita. Makhluk halus itu akan membuat dirinya lebih cantik dan setiap bulan mengambang dia harus menyediakan makanan untuk makhluk berkenaan.

Sememangnya hukum Allah pasti datang kepada mereka yang menyekutukan-Nya.

Walaupun berkahwin Yati tidak dikurniakan anak, malah dukun yang merawatnya juga sudah meninggal dunia dalam keadaan mengerikan.

Yati sendiri mula menerima pembala
san terhadap perbuatannya. Dia kini bukan lagi seorang isteri kepada seorang pengusaha kaya tetapi seorang 'nenek tua' yang keadaannya menakutkan.

Ini kerana kulitnya menjadi kerepot dan berbintik-bintik manakala biji matanya pula mulai tersembul keluar seperti burung hantu.

Dia tidak dapat keluar menemui orang lain kerana keadaan dirinya itu.

"Saya lebih senang di sini (di rumah) sambil mendekatkan diri kepada Tuhan bagi menebus dosa-dosa yang pernah saya lakukan," katanya.

Namun begitu apa yang dialami oleh Yati tidak pernah menginsafkan sesetengah wanita Indonesia. Mereka tetap memilih cara yang salah untuk mengekalkan atau menampakkan diri mereka cantik.

Seorang paranormal di Cipinang, Jakarta Timur, Erlangga menceritakan bagaimana dia menggunakan darah ayam hitam untuk mengekalkan kecantikan seseorang.

"Mereka yang menjalani rawatan ini pasti akan terpelihara kecantikannya hingga banyak orang tertarik kepadanya," dakwanya.

Menurut Erlangga, cara yang dilakukan olehnya sangat mudah dan cepat diperoleh hasilnya.

"Apa yang saya lakukan ialah dengan mengambil darah melalui jari manis mereka yang ingin cantik. Darah itu kemudian dicampurkan dengan darah ayam hitam dan dibuang ke Laut Selatan pada setiap malam Jumaat," katanya.

Erlangga mendakwa, cara yang dilakukan itu boleh memberi kesan kecantikan selama tiga tahun atau seumur hidup.

Mungkin sudah sifat wanita hingga ada di antara mereka yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita hendak cantik terkabul.

Seorang pengamal spirituil di Jakarta Pusat, Suherman, 36, mengakui bahawa dia pernah menyuruh seorang wanita memakan sepasang mata burung gagak hitam pada malam Jumaat.

Wanita berkenaan menuntut ilmu pengasih yang menyebabkan mana-mana juga lelaki yang melihatnya pasti akan mengajak dia bernikah.

Namun kesudahannya ilmu itu memakan dirinya kerana wanita tersebut merasa resah. Dia akhirnya mengalami tekanan jiwa kerana terlalu banyak lelaki yang mengajak dia berkahwin.

Wanita itu kemudian menemui Suherman dan memaparkan masalahnya. Suherman berjanji akan membuang ilmu pengasih yang dipakai oleh wanita tersebut dengan syarat dia harus bertaubat.

"Rawatan yang saya berikan itu akan memulihkannya kepada keadaan sediakala, hanya wanita itu terpaksa menanggung risiko tidak akan mempunyai zuriat," katanya.

Suherman berkata, dia kemudian menyuruh wanita itu mencarikan dua ekor burung gagak hitam jantan. Pada satu malam Jumaat, burung berkenaan disembelih dan matanya diambil.

"Wanita itu harus memakan mata burung tersebut bagi menghapuskan ilmu hitam yang sudah menguasainya dan saya juga mengingatkan dirinya supaya segera bernikah dan hiduplah di jalan Allah," katanya.

Sebulan selepas menjalani rawatan itu, tubuh wanita berusia 28 tahun itu kembali cantik seperti sedia kala.

"Keistimewaan rawatan ini ialah wanita yang menjalaninya akan kelihatan menggiurkan tetapi lelaki seolah-olah tidak tertarik untuk melakukan perbuatan tidak senonoh ke atasnya," kata Suherman.

Sementara itu, seorang lagi paranormal, M. Sulaiman pula menjelaskan, terdapat pula wanita di Jakarta yang sanggup mencantikkan diri mereka dengan menggunakan makhluk halus.

"Mereka ini akan pergi mengambil ilmu-ilmu berkenaan di luar Jakarta seperti di Jawa Timur terutama di pantai Popoh," katanya.

Di situ menurut Sulaiman, wanita yang berminat akan menjalani satu upacara yang menggunakan seekor ayam hitam dan upacara ini dikendalikan dalam bahasa Bali oleh penjaga pantai tersebut.

"Biasanya setelah melakukan upacara ini si wanita tadi akan mendapat mimpi yang berbentuk wasiat. Ada wasiat yang melarang wanita itu bersetubuh dengan suaminya, ada yang diwajibkan berzina dengan lelaki lain dan pula disuruh menyiapkan hidangan," katanya.

Namun menurut Sulaiman, mereka yang mengamalkan ilmu ini tidak akan bertahan lama. Ketika mencecah usia 45 tahun mereka akan meninggal dunia atau sakit-sakit.

"Tindakan seperti ini sudah sah adalah satu dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah," katanya.

Di daerah pergunungan Dieng, Jawa Timur terdapat pula satu ilmu kecantikan yang amat pelik syaratnya. Wanita yang ingin cantik harus mencari darah anak teruna.

Atau jika mereka ingin lebih cantik mereka harus mampu tidur dengan 21 lelaki dalam waktu 21 hari.

Demikianlah kisah mengenai kegilaan sesetengah wanita di Jakarta. Mereka bukan sahaja tidak bersyukur dengan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah malah sanggup menyekutukan-Nya.

Semoga apa yang dipaparkan di sini akan menjadi teladan kepada kita semua bahawa jangan mengikut hawa nafsu dalam melakukan sesuatu perbuatan kerana ia adalah hasutan syaitan.

Sesungguhnya apa yang diciptakan oleh Allah itu sudah cukup sempurna justeru bersyukurlah kepada-Nya. Ingatlah kecantikan seseorang bukan terletak kepada wajahnya tetapi tingkah laku dan budi pekertinya. - MINGGUAN.

Arkib Utusan Malaysia : 01/10/2000

No comments:

Post a Comment