Thursday 8 August 2013

Khutbah Khas Raya: Takbir bergema fitrah terbina

Hari ini umat Islam diharamkan berpuasa untuk menyambut ‘Idulfitri dengan wajah gembira, dengan laungan takbir membesarkan Allah SWT. Sebentar tadi kita menunaikan solat sunat ‘Idulfitri dengan khusyuk menyembah Allah, bertasbih menyucikan-Nya, bertahmid memuji-Nya dan bertahlil mentauhidkan-Nya. Ini kerana Allah memerintahkan kita bertakbir apabila kita selesai menunaikan puasa Ramadhan, firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 185;
“Dan hendaklah kamu selesaikan bilangan puasa kamu dan hendaklah kamu bertakbir membesarkan Allah kerana Allahlah yang memberikan hidayat pertunjukNya kepada kamu dan semoga kerana itu kamu bersyukur”.

Hadis daripada Anas bin Malik R.A. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
“Hiasilah hari raya kamu dengan takbir”. (Riwayat at-Tabrani)

Hari ini, sembilan kali laungan takbir diucapkan dalam khutbah, tujuh dan lima kali dalam solat ‘Idulfitri, dan beberapa kali semenjak pagi. Semoga gema takbir yang kita ucapkan hari ini mampu membina fitrah kita menjadi bersih dan suci. Takbir yang kita ucapkan menyedarkan kita dengan hakikat betapa besar pangkat kita maka besar lagi Allah, betapapun gagahnya kita lebih gagah lagi Allah, betapapun kuatnya kuasa kita lebih kuat lagi kuasa Allah, betapapun kayanya kita lebih kaya lagi Allah, betapapun sombongnya kita apakah kita boleh menandingi Allah?

Gema takbir benar-benar mencabar kita, apakah kita mempunyai kuasa lebih dari kuasa Allah, apakah kita mempunyai hukum dan undangundang lebih baik dari hukum dan undang-undang Allah? Apakah kita mempunyai perancangan yang lebih baik dari perancangan Allah? Apakah kita mempunyai hari akhirat yang lebih baik dari hari akhirat Allah? Apakah kita mempunyai syurga lebih baik dari syurga Allah? Atau kita mempunyai balasan neraka sendiri lebih dari azabnya neraka yang disediakan oleh Allah?

Kalimah takbir benar-benar menjadikan kita hamba-Nya yang sangat kerdil, dhaif dan tidak mempunyai apa-apa. Kita tidak mempunyai sedikitpun tenaga kekuatan melainkan kekuatan Allah, kita tidak mempunyai sedikitpun kebesaran, ketinggian dan kemuliaan melainkan kebesaran, ketinggian dan kemuliaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu, Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Luas Pengetahuan-Nya.
“Dan tidak ada segala daya dan kekuatan melainkan hanya dengan daya dan kekuatan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.


Ramadhan telah berlalu, apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun hadapan? Ramadhan telah meninggalkan kita, berapa banyakkah kita dapat merebut peninggalan Ramadhan yang penuh dengan ganjaran, keuntungan dan perubahan. Perubahan yang bagaimanakah yang kita perolehi? Bertambah baikkah solat kita? Bertambah banyakkah infaq dan sedakah kita? Bertambah seronokkah kita dengan membaca al-Quran? Mampukah kita bertahajud di waktu malam?, bertambah hampirkah kita dengan Allah?, bertambahkah penghayatan kita dengan hukum Allah yang terkandung dalam kitabNya, serta kita imani dan yang kita raikannya dalam sambutan nuzul al-Quran? Semuanya itu menjadi ukuran, sejauhmana Ramadhan berkesan kepada fitrah diri kita.

Ramadhan hanya sebulan dalam setahun, sekiranya Ramadhan pergi dengan meninggalkan kehidupan kita dalam keadaan kosong, gersang, tanpa merebut sedikitpun ganjaran, kebaikan dan keuntungan daripada Ramadhan, maka alangkah ruginya manusia seperti itu? Manusia adalah sebagai hamba Allah yang ada kehidupan selepas kematian, Kehidupan itu mesti ditempuh dengan keyakinan dan keimanan. kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenar dan kekal, Allah berikan kepada kita ganjaran yang sebenar sama ada syurga ataupun neraka. Mudah-mudahan dengan ibadah puasa yang kita lalui tahun ini menjadikan kita orang yang bertakwa dan layak mendapat ganjaran syurga di akhirat kelak.

Keadilan Allah tidak memandang rupa bangsa, warna kulit mahupun keturunan. Sesiapa yang hidup sombong, menipu, rasuah, khianat, mencuri, membunuh, memfitnah, maka mereka tidak akan terlepas dari hukuman Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah, sayang kepada Rasul-Nya, banyak beramal soleh, melaksanakan hukum-hakam Allah, merebut ramadhan dengan lailatul qadarnya yang lebih baik daripada seribu bulan, mereka pasti akan diberi kehidupan yang selesa di akhirat kelak, Allah tidak menzalimi hamba-Nya, kerana itu Ramadhan disediakan kepada kita supaya kita dapat merebut sebanyak-banyak ganjaran untuk dijadikan bekal kehidupan kita di akhirat nanti. Begitulah besarnya rahmat Allah yang dapat kita fahami melalui takbir yang kita ucapan pada hari ini.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
“Sesiapa yang telah bangun menunaikan ibadat di malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan nescaya Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al-Bukhari)
Mereka yang benar-benar terkesan dan sedar dengan kelebihan Ramadhan yang lalu, akan melanjutkannya dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, sebagai tanda kecintaan dan keseronokkan kita betapa besarnya hikmah ibadah puasa Ramadhan itu.

Hadis daripada Abu Ayub al-Ansori bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
“Sesiapa berpusasa pada bulan ramadhan dan diikuti dengan 6 hari pada bulan syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun”. (Riwayat Muslim)

Hadis tersebut sebenarnya member pengajaran kepada kita bahawa tidak sepatutnya setelah kita berpuasa selama sebulan lalu kita sambut bulan Syawal ini dengan bermewah-mewah makan dan minum sekehendak hati, berlebih-lebihan, lebih dari puasa Ramadhan sehingga melepasi Syawal tanpa mengambil kira hikmah dan kelebihan puasa sebulan sepanjang Ramadhan. Bukanlah begitu caranya kita menyambut hariraya yang dikehendaki oleh Islam!.

Orang yang masih ghairah dan rindukan dengan kelebihan berpuasa sepanjang Ramadhan, maka hari ini mereka diperintahkan supaya berbuka dan berhari raya hanya sehari seperti hari ini, kemudian kita disunatkan dan sangat digalakkan supaya berpuasa semula selama 6 hari dalam bulan Syawal. Ini menunjukkan bahawa berpuasa itu mempunyai hikmah yang sangat besar yang wajar direbut untuk membentuk fitrah diri dan kehidupan seseorang hamba Allah yang diredhai-Nya. Maka dengan berpuasa enam, Allah memberi ganjaran sama seperti berpuasa sepanjang tahun, di mana hikmahnya juga turut melimpah ke dalam fitrah dirinya yang bersih sepanjang tahun itu.

Seorang yang berjaya dengan ibadah Ramadhan yang lalu, Allah sediakan rumah mereka di syurga-Nya, keseronokan syurga itu tidak pernah didengar oleh telinga, keindahannya tidak pernah dilihat oleh mata, berkekalan dan tidak mati-mati. Kenghidupan di dalam syurga benarbenar membahagiakan, kebahagiaannya kekal abadi. Begitulah hariraya, semuanya hendak bergembira, semua hidangan yang enak hendak dirasa, semuanya berwajah ceria, berbaju baru beraneka warna, bersalam-salaman dengan hati ikhlas memohon kemaafan, tiada dengki yang disimpan, tiada kemarahan yang dilepaskan, hanya Allah yang dibesarkan, tangan dihulur memberi kemaafan, itulah gambaran yang ‘Idulfitri sebenarnya.

Alangkah gembiranya mereka yang dapat menghuni syurga Allah, tiada kata yang sia-sia, hanya pujian, kesucian dan ketauhidan yang bermain di bibir mereka, bersiar-siar di taman-taman syurga, menikmati kelazatan kurniaan Allah SWT. Allah yang maha besar, itulah takbir yang begema di hari raya, mengembalikan fitrah kita yang bersih ke tempat asalnya di sisi Allah yang esa dengan penuh keredhaan.
Pengajaran yang dapat dirumus daripada khutbah ‘Idulfitri ini adalah:

1. Ramadhan pergi tetap pergi meninggalkan kita, tetapi amalan baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan hendaklah kita teruskan.

2. Ramadhan yang berkesan boleh membawa perubahan yang positif dalam kehidupan, tidak meninggalkan solat fardhu, malah menambahkan lagi solat-solat sunat serta meningkatkan kehadiran untuk berjemaah di masjid dan kelas-kelas pengajian dan tazkirah yang pahalanya sangat besar di sisi Allah. Tidaklah seperti mana yang berlaku sebaliknya, bertambah malas mengerjakan solatnya, malas untuk hadir berjemaah di masjid, malas menghadiri pengajian malah tidak suka mendengar tazkirah dan kuliah yang diadakan.

3. Hariraya adalah hari bergembira kerana berjaya melaksanakan ibadah Ramadhan, dan melepaskan diri dari gangguan nafsu dan syaitan sepanjang ramadhan, lalu bersyukur kepada Allah SWT dan memuji-Nya dengan takbir, tahmid dan tahlil untuk mengesakan Allah.

4. Berpuasa enam hari dalam bulan Syawal adalah sebagai tanda keredhaan kita dengan ibadah yang dilakukan bahkan dikurniakan rahmat dan keberkatan sehingga Allah mengekalkan rahmat dan ganjaran tersebut sepanjang tahun hingga menjelang ramadhan yang akan datang.

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Tuhan-Mu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang bahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”. (Al-Fajr : 27-30)

No comments:

Post a Comment