Monday 12 August 2013

Hujan meteor di ruang angkasa Malaysia malam ini

Meteor Perseids.
Kuala Lumpur 11 Ogos - Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari Selasa.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mhd Fairos Asillam berkata, pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang. "Pancuran
meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Buruj Perseus.

Beliau berkata, apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.

"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Beliau berkata, waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam.

Komet Swift-Tuttle
Pegawai dari Planetarium Hayden New York, Joe Rao memberikan beberapa tips untuk menyaksikan fenomena angkasa yang indah ini:
1. Waktu pemerhatiannya bermula pukul 11 malam, dengan kemuncak hujan meteor tersebut berlaku di antara jam 1 pagi sehingga menjelang subuh.
2. Pilih lokasi yang tidak mempunyai pandangan terhalang seperti tanah lapang dan di atas bumbung bangunan.
3. Duduk sambil mengarahkan pandangan ke selatan hingga ke timur laut.
4. Jangan lupa kopi panas dan kacang goreng sekali ya!. - Bernama

Sumber EarthSky  |  Euronews  |  National Geographic  |  Space.com  |  USA Today

No comments:

Post a Comment