Sunday 3 November 2013

‘Pakar senapang’ dicekup

Senapan Angin Cipacing - gambar hiasan.
Serian: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai pakar senapang buatan sendiri ditahan di ladang kelapa sawit Kampung Ensebang Plaiee, di sini, kelmarin dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Serbuan jam 3.15 petang diketuai Inspektor Mohamad Nizam Bujang berjaya menahan suspek berusia 30 tahun serta merampas selaras senapang buatan sendiri bersama 12 peluru hidup disembunyikan di bawah pondok di ladang sawit.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, berdasarkan risikan dan maklumat awam, serbuan dilakukan di sebuah pondok kecil didirikan secara haram dalam ladang kelapa sawit.

Katanya, ketika serbuan, suspek berada di pondok berkenaan dan gagal melarikan diri sebaik disergah anggota polis berikutan kawasan itu terlebih awal sudah dikepung.

“Pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan selaras senapang buatan sendiri dalam lubang dibuat atas lantai pondok dipercayai sebagai tempat menyimpan senjata itu.

“Suspek dipercayai membuat senjata itu sendiri dan menjualnya kepada penduduk setempat. Dia dipercayai menyimpan senjata yang sudah siap dalam tempat dikhaskan sebelum dijual kepada pembelinya pada harga antara RM200 hingga RM300,” katanya ketika dihubungi.

Suspek dibawa ke Balai Polis Serian dan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Sumber myMetro : 04/11/2013 |
Sumber gambar : Senapang Angin Cipacing

No comments:

Post a Comment