Sunday 10 November 2013

Keamanan, keharmonian dan keselamatan negara akan terus dipertahan - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR, 11 Nov - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa keamanan, keharmonian dan keselamatan negara akan terus dipertahankan bagi menjamin masa depan rakyat dan negara.

Perdana menteri berkata adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai pemimpin untuk memastikan rakyat daripada pelbagai etnik dan bangsa dapat menikmati semua peluang dan potensi negara pada masa depan.

"Ini adalah tanggungjawab saya untuk memastikan masa depan yang memberi sinaran kepada seluruh rakyat terjamin kerana Malaysia mempunyai potensi dan harapan besar yang sedang menanti kita semua," katanya berucap pada Majlis Makan Malam Bicara Perdana Kongres Profesor Negara II di sini Ahad.

Najib berkata pemimpin terdahulu mempunyai wawasan dan komitmen untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati semua rakyat tanpa mengenepikan mana-mana kaum atau komuniti.

"Prinsip ini telah membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan etnik bukan penghalang untuk kita hidup aman damai serta berkembang maju di bawah satu bumbung," katanya.

Najib berkata kepelbagaian dan kedamaian itu perlu dipertahan walaupun cuba dipecah-belahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Ketika tragedi hitam 13 Mei 1969, ramai yang menyangka negara akan hancur dan tidak boleh pulih, tetapi kita pulih dengan cepat sekali...negara kita bertambah kukuh dan kuat daripada peristiwa itu," katanya.

Perdana menteri berkata itu adalah kerana pemimpin-pemimpin ketika tragedi itu mengamalkan perkongsian politik, dengan tidak membincangkan perkara sensitif secara terbuka, sebaliknya diselesaikan sesama mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata kompleksiti rakyat Malaysia tidak patut menjadi penghalang kepada kemajuan sebaliknya membantu pemimpin mencari jalan untuk mengukuhkan pembinaan negara bangsa.

Najib berkata perkara itu mendorong beliau untuk memperkenalkan Gagasan 1Malaysia agar penyatupaduan nasional dapat dicapai.

"Gagasan 1Malaysia bukanlah diperkenalkan untuk pilihan raya umum. Gagasan 1Malaysia adalah untuk membina negara bangsa yang perlu dilakukan untuk menjamin kemajuan negara," katanya.

Sumber BERNAMA 11/11/2013

No comments:

Post a Comment