Sunday 5 July 2015

Ayam Kung Pao, enak dimakan bersama nasi & bubur!

Ayam boleh dikatakan menjadi makanan wajib setiap hari tidak kiralah samada ia adalah makanan segera ataupun masakan berlauk.

Namun apabila tiba hujung minggu pastinya anda kadang-kala seperti ketandusan idea untuk memasak lauk apakah untuk keluarga anda. Pastinya sudah bosan memasak ayam masak kicap, ayam masak sambal atau ayam masak kurma.

Apa kata anda cuba sesuatu yang baru iaitu Ayam Kung Pao! Haa, dengar nama macam gempak (masakan China). Resipi untuk memasaknya mudah sahaja dan rasanya lazat dan tidak memuakkan. Ia bukan sahaja boleh dimakan bersama nasi panas, malah ia juga enak dimakan bersama bubur juga.

Oleh itu, kali ini kami ingin berkongsi dengan anda semua resipi mudah untuk memasak Ayam Kung Pao yang dipetik dari Rasa.

BAHAN-BAHAN:
• 500gm ayam | digoreng dengan sedikit tepung
• 60gm tepung gandum
• 50gm cili kering
• 5 biji cili padi
• 2 biji cili merah
• 2 biji bawang besar
• 4 ulas bawang putih
• 2 sudu makan sos cili
• 2 sudu makan sos tomato
• 1 sudu makan gula
• 1 sudu makan cuka
• 2 sudu makan sos HP | boleh didapati di pasaran
• 2 sudu makan kicap masin
• 2 sudu makan sos tiram
• Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Gaulkan ayam dengan sedikit tepung dan goreng hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik baunya.
3. Masukkan cili kering, cili padi, cili merah, sos cili, sos tomato, cuka, sos HP, kicap masin dan juga sos tiram. Kacau rata dan biarkan hingga pekat.
4. Setelah itu masukkan ayam goreng dan kacau rata.
5. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya dan angkat.
6. Sedia dinikmati bersama nasi putih.

Selamat mencuba & menjamu selera!

No comments:

Post a Comment