Gagak tidak disukai kerana sifatnya yang pengotor dan juga membawa penyakit. |
Semuanya kerana sifat survival burung itu yang bergantung kepada sisa buangan, bangkai dan sampah sarap. Tumbuhan dan buah-buahan juga, walaupun ia sudah busuk atau mereput, turut menjadi pilihan gagak.
Tabiat itu menyebabkannya menyelongkar kawasan pembuangan sampah, tong sampah atau karung sampah yang tidak diikat dengan kemas untuk memenuhi keperluan pemakanannya.
Paling utama, kewujudannya yang tidak dialu-alukan itu turut menimbulkan rungutan kepada orang ramai, khususnya dalam kalangan penduduk sekitar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur di sini.
Kesan pencemaran yang dilakukan kumpulan gagak itu boleh dilihat di mana-mana, bermula dari kawasan perumahan sehinggalah ke kawasan komersial termasuk di belakang lorong-lorong premis perniagaan.
Menyedari perkara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan operasi menembak gagak di sekitar kawasan TTDI baru-baru ini dengan tujuan mengurangkan populasi gagak dan masalah lain yang berpunca daripada haiwan itu.
Ia merupakan operasi pertama tahun ini, selepas beberapa siri operasi yang sama dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.
Banyak aduan
Ketua Operasi, Abdullah Said berkata, operasi itu merupakan satu langkah DBKL bagi mengurangkan bilangan gagak di kawasan berkenaan.
Operasi menghapuskan gagak oleh pihak DBKL turut memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjaga aspek pengurusan sampah. |
“Kami menerima banyak aduan mengenai bilangan gagak yang banyak sekali gus ia membawa masalah kerana spesies burung ini membuat kotor dan meninggalkan najis di merata-rata tempat.
“Pada masa yang sama, bunyi bising kumpulan burung itu juga sering mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya.
Dalam operasi selama tiga jam bermula dari pukul 5 petang sehingga 8 malam itu, kira-kira 100 ekor gagak berjaya ditembak oleh sembilan kakitangan dari Jabatan Kesihatan dan Penguatkuasaan DBKL.
Abdullah berkata, sebelum ini pelbagai cara lain telah digunakan dalam usaha untuk menghapuskan gagak seperti menggunakan jaring elektrik tetapi menembak merupakan satu cara yang paling berkesan.
“Sebelum operasi ini dijalankan kami telah melakukan pemantauan selama beberapa hari dan mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi sarang pembiakan dan laluan burung itu.
“Keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan kami, kita berterima kasih kepada orang ramai kerana memberikan kerjasama sekali gus memastikan operasi berjalan lancar,” ujarnya yang memberitahu kesemua gagak yang ditembak itu akan dilupuskan serta-merta.
Seorang penduduk, Mohd. Syahril Sallih, 28 berkata, dia rimas dengan kehadiran gagak yang jelas mencemarkan imej TTDI.
“Selain jumlahnya yang agak banyak, kadang-kadang ia turut menyelerakkan tong sampah sehingga menyebabkan sampah sarap bertaburan di atas jalan raya.
“Saya harap, DBKL dapat membuat operasi dengan lebih kerap untuk mengurangkan populasi gagak bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Bagi seorang peniaga, Low See Weng, 35, kawasan di TTDI sering menjadi tempat burung gagak mencari makanan, kerana kepadatan penduduk di sekitarnya.
“Di sini banyak kawasan perumahan dan premis perniagaan. Pada masa yang sama, ia diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak mengendahkan soal kebersihan dengan membuang sampah merata-rata.
“Bagi saya, kedua-dua pihak, DBKL dan masyarakat, perlu memainkan peranan mereka. Jika bandar raya kita sentiasa bersih, saya pasti masalah burung gagak tidak akan timbul,” ujarnya.
Arkib Kosmo Online 27/01/2011
No comments:
Post a Comment