Tuesday, 2 July 2013

Operasi tembak gagak di City Park

Hanizam Ahmad (tiga dari kiri) dan kakitangan MPS serta Jabatan Perhilitan
Negeri Sembilan yang terlibat dalam operasi menembak gagak
di Taman Tasik City Park, Seremban 2, kelmarin.
Seremban 22 Nov. - Majlis Perbandaran Seremban hari ini menjalankan operasi menembak gagak bagi membanteras aktiviti haiwan liar tersebut yang semakin berleluasa di Taman Tasik City Park, Seremban 2 di sini.

Pengarah Undang-undang dan Penguatkuasa (MPS), Hanizam Ahmad berkata, operasi tersebut dilakukan hasil aduan orang ramai yang mengunjungi tempat itu serta pemaju kawasan perumahan di situ, IJM Land.

"Ini merupakan langkah yang berkesan untuk MPS mengurangkan populasi burung tersebut di kawasan ini yang merupakan lokasi tumpuan orang ramai.

"Kehadiran burung perosak ini dalam jumlah yang banyak mendatangkan masalah kepada orang ramai terutamanya bunyi bising ketika waktu Subuh dan Maghrib," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi menembak haiwan itu.

Yang turut hadir, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Abu Zahrim Ismail.

Menurut Hanizam, sebanyak 10 orang kakitangan MPS dan 20 daripada Jabatan Perhilitan negeri serta dua anggota polis terlibat dalam operasi menembak yang bermula pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam itu.

"Kita telah menutup seluruh kawasan Taman Tasik City Park hari ini," katanya.

Menurutnya, aktiviti itu adalah kesinambungan operasi yang dijalankan pada Mei lalu dah berjaya menghapuskan 105 ekor gagak di kawasan itu.

"Ini adalah usaha membantu mengurangkan kumpulan burung gagak yang telah mengotorkan kawasan rumah, premis perniagaan dan kenderaan," katanya.

Arkib Utusan Malaysia :  23/11/2012

No comments:

Post a Comment