Sunday, 25 August 2013

Op Cantas: 6 suspek ditahan, 2 senapang dirampas

Senapang buatan sendiri Bandung - gambar hiasan.
Kota Bharu 25 Ogos - Polis Kelantan menahan enam suspek dan merampas dua laras senapang buatan sendiri termasuk 134 butir peluru hidup pelbagai jenis dalam Op Cantas yang dilakukan di tiga lokasi berasingan pada 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 4.30 pagi di Guchil 2 Kuala Krai, pihaknya menahan dua lelaki selepas menemukan selaras senapang sepanjang 95 sentimeter yang disembunyikan di dalam kereta Proton Iswara dinaiki suspek.

Senapang angin, Bandung - gambar hiasan.
Menurut beliau, senapang tersebut yang dipercayai dibeli dari negara jiran pada harga antara RM180 hingga RM200 disembunyikan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang untuk mengelak daripada dikesan.

"Pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai yang melakukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan susulan di dalam kereta tersebut dan berjaya menemui 36 butir peluru hidup yang disimpan di dalam satu beg kecil.

"Kedua-dua suspek yang berumur 20 dan 27 tahun telah direman sehingga esok (26 Ogos) bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

"Kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Sumber Utusan Online 25/08/2013

No comments:

Post a Comment